BEGINI...Nor Kamariah menunjukkan kaedah menyusu dengan betul, antara salah satu latihan yang dijalankan Susuibu.com.
PELAYAR laman sesawang Susuibu.com pasti tidak asing dengan laman sosial ini yang banyak memberi maklumat terkini serta pengetahuan berguna mengenai penyusuan susu ibu. Di samping rencana menarik, laman ini juga menjadi medan interaktif wanita terutama dalam menyuarakan pandangan, bertukar pendapat serta menjadi pemangkin semangat bagi ibu muda yang ingin menyusukan anak mereka sepenuhnya.
Di sebalik kejayaan Susuibu.com, banyak cabaran terpaksa dilalui pemiliknya, Nor Kamariah Mohamad Alwi yang juga kaunselor laktasi. Bermula sekadar suka-suka untuk berkongsi pengalaman dengan masyarakat mengenai penyusuan susu ibu, kini ahli berdaftar Susuibu.com sudah melebihi 13,000 orang sepanjang enam tahun penubuhannya.
Menurut Nor Kamariah, pengalaman dilaluinya selepas melahirkan anak pertama adalah cabaran kepada wanita ini untuk menyusukan anak secara eksklusif. Ini kerana selepas melahirkan anak pertama pada tahun 2000, pendedahan mengenai kepentingan penyusuan susu ibu sangat kurang terutama sokongan daripada keluargaKetika itu dia menyambung pengajian sarjana di Universiti Tunku Abdul Rahman (Unitar). Walaupun terpaksa berdepan cabaran besar kerana terpaksa menyusukan anak sepenuhnya di kala masih belajar, dia kuatkan tekad untuk menghadapinya hanya berbekalkan pengetahuan di Internet serta pembacaan buku dan majalah.
“Berbekalkan pengetahuan menerusi Internet, saya cuba sedaya upaya mendapatkan maklumat mengenai penyusuan susu ibu. Mujur pensyarah sangat memahami serta membenarkan saya membawa anak ketika peperiksaan dan menyediakan sebuah bilik berasingan untuk saya. Ketika itu saya sangat berterima kasih kepada pensyarah kerana memberi sokongan penuh kepada saya untuk menyusukan anak,” katanya. Menurutnya, semangat untuk menyusukan anak semakin bertambah ketika pulang ke kampung di Ipoh, Perak apabila melihat saudaranya yang bekerja mampu menyusukan anak secara eksklusif. Dia mengajar bagaimana memerah susu menggunakan tangan dan pam, juga teknik penyimpanan susu dengan betul ketika bekerja.
“Kebetulan pada masa itu kakak baru saja melahirkan anak dan kami saling memberikan sokongan antara satu sama lain,” katanya. Ketika bersalin anak kedua pada 2003, Nor Kamariah sudah mempunyai pengalaman me-ngenai penyusuan susu ibu dan masalah penyusuan, namun dia berasa keseorangan kerana ketika itu tidak ramai ibu yang menyusukan anak secara eksklusif.
Dia cuba bertanya kepada rakan namun jawapan diperoleh sangat mengecewakan kerana mereka sudah memberi susu formula kepada anak mereka.Bertujuan untuk berkongsi pendapat mengenai susu ibu, akhirnya Nor Kamariah membuka laman sosial Susuibu.com pada 2004. Niatnya hanya sekadar untuk berhubung dengan wanita serta berkongsi pendapat mengenai kaedah penyusuan yang betul.
“Ketika itu pengunjung berdaftar hanya 200 saja, tetapi lama-kelamaan semakin bertambah dua kali ganda sehingga mencecah ribuan pengunjung. Masing-masing menyatakan keterujaan mereka terhadap laman sosial ini kerana membolehkan wanita mendapat maklumat yang jelas mengenai penyusuan,” jelasnya. Tambahnya, dari setahun ke setahun, pemberitahuan menerusi mulut ke mulut menyebabkan Susuibu.com semakin mendapat perhatian.
“Ada yang mendapat tahu melalui rakan, pihak hospital dan kebanyakannya menerusi enjin pencarian Google. Hanya mereka yang benar-benar ingin mendapat maklumat mengenai susu ibu saja akan memperolehnya menerusi laman sosial ini,” katanya yang memiliki Ijazah Kejuruteraan daripada Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
Ketika itu, laman susu ibu bukan saja menjadi pakar rujuk malah banyak persoalan diutarakan mereka yang mempunyai latar belakang berbeza. Disebabkan tidak mempunyai sebarang pendidikan mengenai penyusuan susu ibu, ini mendorong Nor Kamariah menjalankannya secara profesional dengan mengambil peperiksaan Pensijilan Antarabangsa Kaunselor Laktasi. “Oleh kerana Susuibu.com mendapat perhatian daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan profesional yang arif dalam bidang perubatan seperti jururawat dan doktor, ini mendorong saya mengambil peperiksaan seterusnya membuka butik Susuibu.com di Bandar Baru Bangi.
“Ini bagi memberi tumpuan kepada laktasi serta menyediakan keperluan penyusuan kepada wanita secara lebih sistematik dan teratur. Justeru, wanita selain mendapatkan khidmat nasihat menerusi laman Susuibu.com, mereka boleh terus ke butik untuk mendapatkan pemahaman secara praktikal dan rundingan secara empat mata,” katanya. Pada 2009, Susuibu.com bergabung dengan Mom’s Little Ones untuk memperkenalkan mengenai konsep semula jadi sama ada melalui kaedah penyusuan, pemakanan, penggunaan produk dan pemakanan.
“Selain fokus utama penyusuan susu ibu, kami cuba mengalihkan tumpuan masyarakat kepada perkara yang sering dilupakan seperti menyediakan makanan bayi sendiri, penggunaan lampin kain dan menggunakan kain kendong yang kebaikannya tidak dapat diragukan,” katanya.
Menurutnya, sepanjang menjadi kaunselor, cabaran utama adalah bagi ibu bekerja iaitu bagaimana meneruskan penyusuan dengan keadaan masa yang sangat terbatas. Namun dengan adanya laman Susuibu.com, ibu dan bakal ibu lebih terbuka dan terdedah mengenai kepentingan susu ibu seterusnya membuat persiapan lengkap sejak sebelum bersalin lagi.
Mom’s Little Ones bergabung tenaga dengan Susuibu.com bagi menyediakan medium terbaik kepada golongan ibu bukan saja mengenai penyusuan susu ibu tetapi memperkenalkan produk semula jadi yang baik untuk kesihatan mental dan fizikal anak-anak.
Memasuki tujuh tahun penubuhan Susuibu.com, menurut Kamariah, dia masih belum puas kerana masih ramai ibu bapa yang tidak mempunyai kesedaran mengenai ilmu keibubapaan yang bukan setakat melahirkan anak tetapi meliputi banyak perkara. “Ada ibu yang mampu menyusukan anak mereka dan ada yang tidak boleh dan inilah cabaran yang harus saya hadapi. Selain ilmu, latihan dan kemahiran, sokongan keluarga terutama suami dan ibu bapa juga sangat penting,” katanya.
Justeru, bagi memberi pendidikan secara lebih menyeluruh sejak 2008, menerusi Susuibu.com lebih ramai kaunselor laktasi yang mendapat pengiktirafan antarabangsa daripada IBCLC dilahirkan. Mereka perlu menduduki peperiksaan setiap lima tahun bagi memberi semangat kepada perunding laktasi supaya tidak berhenti belajar dan mendapat-kan maklumat terkini mengenai penyusuan.
Kaunselor laktasi terlatih akan memberikan rundingan secara empat mata, dengan pergi dari rumah ke rumah dan memberi penerangan di hospital sebaik saja melahirkan anak mengenai kaedah penyusuan yang betul. “Bukan itu saja, setiap bulan kaunselor laktasi akan mengadakan perjumpaan dengan ibu bapa bagi mendengar masalah, luahan hati, pandangan serta pengalaman yang boleh dikongsi dengan semua ibu.
“Dengan cara ini, sama ada kaunselor atau ibu bapa boleh mendapatkan pandangan daripada perspektif berbeza dan memahami antara satu sama lain,” katanya. Bukan mahu mendabik dada namun rasa kesyukuran dilafazkan kerana kini, kesedaran wanita mengenai penyusuan susu ibu sudah semakin bertambah dengan melihat pertambahan ahli dalam Susuibu.com dan kumpulan sokongan.
Harapan Nor Kamariah hanya satu iaitu ingin melihat masyarakat berubah ke arah yang lebih baik serta kehidupan yang ditentukan mereka sendiri. Malah besar impiannya ingin melihat suatu hari nanti, semua ibu di Malaysia menyusukan anak mereka secara eksklusif. “Hari ini, ibu bapa sepatutnya bertanggungjawab atas apa saja keputusan yang dibuat mereka dan tidak menyesal di kemudian hari. Mereka juga harus mendapatkan maklumat yang tepat bukan dipengaruhi sesiapa. “Ini supaya suatu hari nanti ibu bapa tidak menyalahkan masyarakat atas apa saja yang berlaku kepada mereka, keluarga dan anak-anak. Paling penting mendapatkan ilmu keibubapaan mencukupi sebelum bergelar ibu dan bapa,” katanya.
sumber: metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan