BAGI peminat vokalis kumpulan Spin, Allahyarham Abdillah Murad Md Shari atau Achik, jangan lupa menyaksikan program Jangan Tidur Lagi yang disiarkan di TV3, jam 11 malam ini.
Rakaman program hiburan yang dikendalikan Saiful Apek berlangsung tiga minggu sebelum Achik meninggal dunia pada 17 April lalu. Turut serta menerusi rakaman itu, gandingan duetnya, Siti Nordiana Alias atau Nana dan Munir Phye Ballaz sebagai tetamu jemputan.
Produser, Hamsiah Biri ketika dihubungi memaklumkan episod berkenaan sepatutnya disiarkan minggu lalu. Begitupun, sebagai menghormati keluarga arwah, pihak penerbitan mengambil keputusan untuk menyiarkan program berkenaan pada minggu ini. "Untuk episod khas ini, kami melakukan sedikit penyuntingan dengan menampilkan visual belasungkawa Achik lebih kurang lima minit, selain menyiarkan semula rakaman aksi Achik menyanyi dua lagu duet bersama Nana.
"Kami juga menampilkan rakaman temu bual bersama balu arwah, HM Rosezaitul Suriani Wati Maarof, Nana dan anggota kumpulan Spin yang turut berkongsi cerita mengenai kelakuan Achik sebelum beberapa hari menghembuskan nafas terakhirnya.
"Memang program kali ini cukup menyentuh perasaan bagi mereka yang cukup rapat dengan arwah. Begitu juga peminatnya. Temu bual yang diadakan secara bersahaja cukup menarik dan meninggalkan memori tersendiri buat penonton," katanya.
Pihaknya memberi peluang kepada setiap artis menjayakan persembahan dalam bentuk showcase mini. Rakaman program berlangsung pada 30 Mac lalu di Studio ntv7, Glenmarie Shah Alam, Selangor.
Achik yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 17 April lalu menjadi satu kehilangan besar dalam dunia seni. Ramai di kalangan peminat dan rakan artis terkejut mendengar berita itu. Achik meninggalkan dua anak, Putri Nursafiya, 2 dan Putri Nursumayya, 11 bulan manakala anak sulungnya, Putri Rania meninggal dunia tiga tahun lalu.
sumber: harian metro
1 ulasan:
hanyer alfatihah mampu kuberi...
Catat Ulasan