Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers Lilypie Breastfeeding tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Fourth Birthday tickers

Jumaat, Jun 06, 2008

Susu ibu lawan HIV

Wanita dijangkiti HIV yang menyusukan bayi boleh menyebabkan 300,000 kanak-kanak dijangkiti HIV tetapi menyelamatkan 1.5 juta orang daripada mati akibat penyakit lain

SUSU ibu mungkin pilihan terbaik di kalangan wanita yang dijangkiti HIV di negara membangun meskipun wujud risiko menjangkiti virus itu kepada bayi masing-masing.

Ibu yang positif HIV diminta menyusukan bayi mereka dengan susu formula untuk mengehadkan risiko jangkitan virus berkenaan tetapi ia menimbulkan masalah di negara yang tidak dapat menyediakan bekalan air bersih.

Ahli pediatrik di Universiti KwaZulu-Natal Afrika Selatan, Dr Hoosen Coovadia, memberitahu Persidangan Retrovirus dan Potensi Jangkitan ke-14 bahawa ibu dijangkiti HIV di negara membangun yang menyusukan bayi masing-masing boleh menyebabkan kira-kira 300,000 kanak-kanak dijangkiti HIV tetapi ia menyelamatkan 1.5 juta orang daripada meninggal akibat penyakit lain.

“Susu ibu banyak memiliki faktor ketahanan. Penyusuan bayi harus digalakkan, dilindungi dan dipelihara meskipun ada risiko HIV,” katanya.

Coovadia menyarankan wanita positif HIV di negara yang mempunyai kadar kematian bayi 25 peratus atau lebih tinggi, menyusukan bayi mereka.

Wanita dengan jangkitan HIV berisiko untuk menyebarkan virus berkenaan kepada bayi mereka waktu hamil, kelahiran atau penyusuan bayi. Tanpa rawatan awal, 20 hingga 45 peratus bayi dijangkiti virus penyebab Aids itu daripada ibu mereka, menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Ia satu dilema di kalangan wanita yang positif HIV,” kata saintis di Jabatan Kesihatan Kanak-kanak dan Remaja WHO, Peggy Henderson, sambil merujuk kajian risiko kematian enam kali ganda akibat penyakit berjangkit di kalangan bayi yang diberi susu formula berbanding menerima susuan ibu secara eksklusif.

Di negara maju termasuk Amerika Syarikat, kadar itu menurun pada kadar kurang daripada dua peratus menerusi rawatan ubat-ubatan, kelahiran secara pembedahan Caesarean dan kaedah lain.

Kajian empat tahun Coovadia di Durban, Afrika Selatan itu mendapati empat peratus bayi yang disusukan secara eksklusif dijangkiti HIV.

“Jika anda mempunyai sumber untuk menyediakan susu yang bersih seperti air bersih, bekalan elektrik dan seumpamanya, ia untuk penyediaan susu formula. Jika anda tidak mempunyai kemudahan itu, penyusuan bayi oleh ibu mereka memang diperlukan,” kata Coovadia.

Kajian di Botswana yang disebut ‘negara paling stabil dan demokratik di Afrika’ oleh Coovadia, mendapati kebanyakan 500 kanak-kanak yang meninggal dunia sewaktu wabak cirit-birit berkaitan banjir tahun lalu, diberikan susu formula.

Hasil ‘sangat mengejutkan’ mendapati di beberapa kawasan, risiko meninggal dunia daripada penyakit berjangkit lain mengatasi risiko HIV, kata profesor bersekutu Hospital Kanak-kanak Los Angeles, Dr Grace Aldrovandi.

Percubaan di kalangan 958 wanita di Zambia mendapati bayi yang dijangkiti Aids juga menunjukkan prestasi lebih baik dan kurang kecenderungan untuk meninggal dunia apabila mereka terus diberikan susu ibu.

WHO menyarankan wanita dijangkiti HIV menyusukan bayi mereka secara eksklusif untuk tempoh enam bulan pertama kecuali susu gantian diterima, mampu dimiliki, boleh bertahan dan selamat untuk mereka serta bayi mereka.

Sumber:Harian Metro

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...