Gejala pembuangan bayi di Malaysia menunjukkan peningkatan yang tiada kesudahannya. Tiada petanda atau kayu ukur yang mengatakan gejala itu semakin dipandang jijik dan seterusnya berkurangan. Ada ketika, bayi yang baru dilahirkan ditamatkan riwayatnya dengan cara hina seperti dibuang di sungai, tong sampah, mangkuk tandas dan sebagainya.Ada pula bernasib baik, bayi ditinggalkan di tempat ada orang menjumpainya. Secara moralnya, kedua-dua perbuatan adalah terkutuk kerana tidak bertanggungjawab ke atas perbuatan mereka.
Sebenarnya gejala pembuangan bayi adalah cerminan gaya hidup tidak sihat sekelompok masyarakat kita. Masyarakat kita sedang melalui satu fasa genting hari ini. Persoalan moral dan akhlak bukan lagi pertimbangan utama dalam setiap keputusan kita. Gaya hidup yang berteraskan liberalisme semakin berakar dalam masyarakat. Penyakit ini bukan saja berjangkit kepada golongan elit atau bangsawan tetapi golongan marhaen dan rakyat bawahan. Akar pemikiran liberalisme ini bertunjangkan pandangan alam kebaratan.
Pandangan alam Barat ini menyumbang kepada kekeliruan abadi di kalangan masyarakat kita. Persoalan akhlak dan moral ditafsirkan secara relatif seperti kisah tiga orang buta dengan seekor gajah. Ada yang mentafsirkan gajah seperti pelepah pisang kerana si buta memegang telinga gajah. Ada yang mentafsir gajah seperti tali kerana si buta memegang ekor gajah. Ada juga yang mentafsir gajah seperti batang kelapa kerana si buta memegang kaki gajah. Akhirnya, masing-masing mentafsirkan gajah berdasarkan ilmu pancaindera mereka yang terhad itu.
Bagi masyarakat, persoalan akhlak bukan lagi milik mutlak ulama. Akhlak boleh ditafsirkan sesiapa saja asalkan perkara tersebut diterima ramai dan menjadi norma masyarakat.Gejala relativisme dengan merungkaikan persoalan akhlak tidak berdasarkan aspek abadi adalah kekeliruan yang nyata.
Ia berkait rapat dengan pandangan alam kebaratan yang semakin berakar dalam masyarakat. Kerana itu Prof Naquib Al Attas mengungkapkan dengan tajam bahawa antara Islam dan Barat, ia merupakan ‘Permanent confrontation’, yang akan berpanjangan. Apabila mengatakan ‘Barat’, ia bukan tertakluk kepada bentuk fizikal atau warna kulit sebagai faktor penentu tetapi sebuah pandangan hidup.
Australia sebagai contoh, walaupun nun jauh di Lautan Pasifik, ia tergolong dalam negara ‘Barat’ kerana mereka berkongsi pandangan alam. Antara teras pertembungan Islam dan Barat ialah Islam tidak mengiktiraf materialisme sebagai fahaman yang penting manakala Barat menjadikan materialisme sebagai teras fahaman mereka.
Ini juga bukan bermaksud Islam menolak konsep materalistik seperti pencarian harta, hak pemilikan harta dan penjagaan harta, namun mengiktiraf bahawa peranan kerohanian adalah penyeimbang kepada tuntutan materialisme yang melingkari kita.Malah, aspek kerohanian bukan sekadar faktor penyeimbang tetapi merupakan ‘primary factor’ kepada perhambaan kita kepada Yang Maha Esa.
Disebabkan kefahaman dan keyakinan faktor kerohanian inilah melahirkan sifat yang mulia dan abadi dalam kehidupan kita seperti amanah, berakhlak mulia, jujur, tawaduk, rasa kehambaan dan sebagainya.
Barat menjadikan fahaman materialisme sebagai faktor dominan dalam pandangan alam mereka. Aspek kerohanian atau ilmu wahyu itu tidak diiktiraf sebagai penting kerana tidak boleh dicapai melalui kajian saintifik dan eksperimen di makmal.
Fahaman materialisme berakar dalam pandangan alam mereka lalu menyebabkan tindakan selari dengan kefahaman mereka. Kerana itu di Barat, perbuatan membuang bayi tidak termasuk dalam dosa besar kerana mereka tidak memasukkan azab dan dosa dalam ‘kamus’ hidup selepas kematian. Berkaitan dengan kes pembuangan bayi, boleh dikatakan di Barat perbuatan zina dan seks bebas sudah menjadi norma dan budaya mereka. Lalu, tidak jadi isu jika mereka mampu melahirkan anak luar nikah akibat perbuatan songsang mereka.
Manakan tidak, mereka mempunyai kaedah `pengurusan jenayah’ mereka seperti penggunaan kondom secara bebas atau pengguguran anak di klinik. Aspek ‘pengurusan jenayah’ yang kemas dan teratur ini adalah asas kepada ‘berjayanya’ perbuatan jenayah mereka. Jika mereka faham bahawa seks bebas adalah dosa dan mendatangkan mudarat, maka sudah pasti kaedah ‘pengurusan jenayah’ mereka akan kelihatan janggal.
Senang kata, bagi mereka, sudah buat berani tanggung! Maknanya isu pembuangan bayi tidak tumbul di Barat kerana mereka mengurus dengan baik dan kemas ‘jenayah’ yang mereka buat.Dalam masyarakat kita sebaliknya, oleh kerana aspek keagamaan masih menebal atau barangkali tersisa dalam masyarakat kita, cara ‘pengurusan jenayah’ itu seakan janggal dan tidak teratur. Dalam kes pembuangan bayi, wanita yang melahirkan bayi itu tercermin sikap rasa bersalah kerana melahirkan anak luar nikah lalu mengambil keputusan sama ada menamatkan riwayatnya atau selamatkannya.
Jika bernasib baik, bayi ditinggalkan di tempat selamat, jika tidak dihumban di sungai atau longkang.Boleh dikatakan, gejala pembuangan bayi adalah kekeliruan pandangan alam lapisan bawah membabitkan orang awam, terutama golongan remaja. Malah, melekat juga kepada golongan ilmuan dan pendidik yang dikategorikan sebagai lapisan atas atau utama yang menyebarkan fahaman kebaratan melalui institusi pendidikan kepada umat Islam. Tidak keterlaluan juga, mereka semacam ‘ejen’ tidak rasmi pihak Barat.
Atas dasar itu masyarakat harus dibimbing supaya pulang ke pangkal jalan, iaitu mempunyai pandangan alam yang berteraskan agama. Persoalan ini harus ditangani dengan kaedah pendidikan kesedaran dan pencegahan. Kedua-dua aspek iaitu didik dan cegah mesti berjalan seiringan. Program pendidikan kesedaran harus dijadikan modul utama, terutama di kalangan generasi muda. Pada masa yang sama juga budaya hedonisme disekat dengan sebijak mungkin.
Persoalan Islam vs Barat juga harus ditangani dengan ilmiah dan bijaksana. ‘Peperangan Idea’ antara dua kutub berbeza ini menuntut stamina ilmu yang tinggi di kalangan umat Islam secara khusus. Sudah tiba masanya umat Islam di Malaysia digerakkan keupayaan mereka untuk membina kembali nilai dan pandangan alam berteraskan agama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan