Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers Lilypie Breastfeeding tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Fourth Birthday tickers

Isnin, Mei 26, 2008

aLahan Pada Susu Lembu??


Ibu Bapa seringkali runsing dengan keadaan bayi , apabila mendapati anak anda sering kali ditumbuhi ruam halus pada kulit selepas minum susu formula yang diberikan. Paling merisaukan ialah anak anda akan muntah setiap kali ia meminum susu.

Anda mendapati di sekeliling mulut anak anda juga terdapat kesan kemerah-merahan dan sesekali akan terdengar perut berbunyi seperti ada angin di dalamnya. Ada kalanya ketika tidur, nafas anak andal juga berbunyi kuat dan dia juga sering menggaru-garu tempat tertentu apabila berpeluh.

Atas rasa tanggungjawab terhadap kesihatan bayi anda, segeralah membawa anak anda ke pakar kanak-kanak . Ini adalah salah satu simptom di mana anak anda mengalami alahan kepada protein susu lembu yang terkandung di dalam rumusan susu yang diberi.

Justeru, anda dicadangkan untuk menukar rumusan susu lembu kepada susu berasaskan soya bagi mengelakkan bayi andaa daripada mengalami ketidakselesaan.

Alahan kepada protein susu lembu (CMPA) adalah masalah antarabangsa. Boleh dikatakan ia dialami oleh semua bayi dan kanak-kanak di seluruh dunia.

Menurut perangkaan, di Amerika Syarikat (AS), lebih daripada 2.5 peratus bayi di negara itu mengalami CMPA, manakala kajian yang dilakukan di Singapura mendapati alahan kepada susu lembu adalah sama kuantiti seperti alahan kepada ikan dan kekacang.

Profesor Madya Bahagian Pediatrik Pengkhususan Alahan dan Imuniti Kanak-Kanak, Pusat Perubatan Universiti Duke, North Carolina, AS, Dr. Larry Wayne Williams berkata, terdapat banyak simptom yang mengaitkan dengan alahan itu.

“Kita boleh melihat tanda-tanda ini dengan jelas pada bayi yang mengalami alahan terhadap protein susu lembu. Kulit akan mengalami ruam dan ekzema, manakala pernafasan pula ada kedengaran bunyi, dengkur dan selesema.

“Sesetengah bayi pula akan muntah dan cirit-birit,” jelasnya ketika sesi penerangan media di sebuah hotel di ibu kota, baru-baru ini.

Bintik-bintik ruam

Dr. Williams berkata, terdapat satu kes di mana seorang nenek yang menjaga cucunya telah memberikan susu formula buat pertama kali selepas bayi tersebut bercerai susu ibu.

Selepas meminum kira-kira 30 mililiter susu, muka bayi tersebut menjadi kemerah-merahan dan bintik-bintik ruam mula timbul.

“Nenek itu kemudiannya menghentikan susuan dan lima minit kemudian bayi tersebut memuntahkan semua susu yang telah diminum.

“Selepas 15 minit, kesan bintik dan tanda merah di wajahnya berkurangan. Simptom yang sama berulang pada minggu seterusnya setiap kali diberikan susu formula,” katanya.

Menurut Dr. Williams, ujian diagnosis boleh dilakukan untuk memastikan sama ada bayi mengalami CMPA atau sebaliknya.

Ujian kulit atau dinamakan Prick Skin akan dilakukan. Ia tidak memerlukan suntikan. Caranya ialah satu alat plastik diguris sedikit pada kulit bayi. Bayi yang mengalami alahan terdapat kesan merah pada kulit atau gatal selepas ditekan dalam masa 15 minit.

Selain itu, ujian antibodi allergen (IgE) juga boleh dilakukan, ia bertujuan mengukur paras darah terhadap susu.

Menurut Dr. Williams, rawatan paling berkesan untuk bayi yang mengalami CMPA ialah dengan mengelakkan pengambilan produk yang mengandungi protein susu lembu.

Jelasnya, ibu bapa perlu lebih prihatin dengan membaca label kandungan sebelum membeli sesuatu produk.

“Carilah alternatif kepada susu dengan produk yang tidak mengandungi protein susu lembu. Rumusan soya adalah salah satu alternatif yang baik untuk bayi yang mengalami CMPA,” jelas beliau.

Berdasarkan kajian yang dilakukan pada tahun lalu oleh Jurnal Alahan dan Imuniti mendapati, kebanyakan bayi yang mengalami CMPA akan beransur pulih mengikut peredaran tahun.

“Terdapat juga kajian terhadap terapi tentang kaedah untuk menyekat tindak balas antibodi terhadap alahan, kaedah yang sesuai untuk mengelakkan alahan serta kaedah untuk memulihkan kesan alahan terhadap sistem imunisasi,” ujar beliau.

Kesimpulannya, alahan menjadi semakin biasa di seluruh dunia, rawatan yang paling baik ialah dengan mengelakkan produk yang mengandungi susu lembu.

Kajian mengenai terapi boleh mengurangkan tahap alahan, bagaimanapun, ibu bapa perlu merujuk kepada pakar kanak-kanak untuk mendapatkan yang terbaik bagi bayi mereka.

sumber: article utusan malaysia

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...