Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers Lilypie Breastfeeding tickers Lilypie Kids Birthday tickers Lilypie Fourth Birthday tickers

Isnin, Jun 09, 2008

PeRkemBangan Janin 13-16 minggu


Minggu ke-13, kepala bayi membesar dengan lebih cepat daripada yang lain-lain. Badannya juga semakin membesar untuk mengejar tumbesaran kepala. Berat bayi kita kini boleh mencecah kira-kira 30g. Kuku kaki dan tangan juga mula tumbuh. Pada masa ini puan mungkin akan mengalami perubahan ketara akibat perubahan hormon yang berlaku dalam badan. Sebagai contoh rembesan minyak menyebabkan wajah kita berbintik-bintik. Kita perlu banyak meminum air suam/masak serta membersihkan muka sekurang-kurangnya 2-3 kali sehari.

Masuk minggu ke-14 degupan jantung bayi akan semakin kuat dan kita sudah boleh mendengarnya melalui ujian imbasan. Lajunya adalah 2 kali ganda kelajuan jantung kita. Pada masa ini bayi kelihatan kurus kerana belum terdapat lapisan lemak. Kulitnya juga sangat nipis sehingga kita dapat melihat saluran darahnya. Pada tahap ini juga biasanya ibu hamil akan mengalami masalah sembelit kerana pergerakan usus cenderung diperlahankan semasa hamil. Jadi elakkan daripada memakai pakaian yang ketat atau sendat agar puan-puan berada dalam keadaan yang selesa.

Minggu seterusnya iaitu minggu ke-15, bayi kita sudah mampu menggenggam tangannya dan menghisap ibu jari. Kelopak matanya masih tertutup dan akan terus kekal sedemikian sehingga minggu ke-26. Walaupun begitu bayi boleh mengetahui perubahan cahaya ketika ini. Bayi kita juga sudah boleh menelan. Puan akan merasa perubahan ketara kerana garis pinggang kita akan mengembang dan jantung mula berdegup 20% lebih pantas kerana isipadu darah mengalir dalam badan telah meningkat.

Jadi banyakkan senaman ringks atau puan juga boleh melakukan aktiviti berenang untuk meringankan simptom kehamilan dan menyediakan stamina manjadi lebih kuat ketika proses kelahiran kelak.

Minggu ke-16. Kehamilan puan kini sudah hampir 4 bulan. Pada masa ini badan kita perlu senantiasa sihat dan bertenaga. Bayi kita telah terbentuk sepenuhnya dan perlu diberikan nutrien yang secukupnya oleh plasenta. Bayi kita mula menerima nutrien dari plasenta sejak minggu ke-14. Kini bayi dalam kandungan telah mempunyai tulang yang kuat dan dia juga sudah boleh mendengar bunyi-bunyian untuk pertama kali.

Sumber: http://www.mengandung.com/

PeRkemBangan Janin 9-12 minggu


Saiz bayi pada usia minggu ke-9 hanyalah sebesar sebiji anggur iaitu dalam saiz seinci. Pembentukan telinga sudah kelihatan pada masa ini. Dan yang paling mengembirakan bagi bakal ibu ialah pada saat inilah bayi kita sudah mulai mengerakkan anggota badannya. (Sudah boleh menggerakkan jejari tangan manakala jejari kakinya masih bercantum).

Pada usianya masuk minggu ke-10, bayi kita sudah kelihatan seperti manusia yang lengkap. Pada minggu ini, payu dara puan akan sedikit membengkak kerana terdapat cecair oestrogen dan progesterone sebagai persediaan untuk menyusukan bayi kelak.

Pada usia kehamilan minggu pertama - minggu ke 10, ibu yang hamil amat memerlukan zat besi. Dengan zat besi tersebut ianya dapat membantu ibu hamil untuk menghilangkan rasa loya, muntah-muntah serta alahan. Dengan zat besi yang mudah hadam juga dapat membantu tumbesaran janin. Antara sindromyang dapat dicegah atau dikurangkan dengan pengambilan zat besi ini ialah dapat mencegah demam, batuk, selsema,sejuk-sejuk, sakit kepala, sakit gigi dan lain-lain lagi. Paling penting ia juga turut membantu melancarkan aliran darah dan mencegah daripada masalah urat bersimpul di betis dan kaki serta menghilangkan letih dan lesu.

Pada usia kehamilan masuk minggu ke-11, bayi dalam kandungan akan mulai suatu proses pertumbuhan yang pesat dan mula mengangkat kepala ke atas jauh daripada dadanya. Alat kelamin luar pula mula terbentuk tetapi masih kecil sehingga sukar untuk melihat jantinanya samada lelaki atau perempuan semasa membuat imbasan.

Jadi menjelang minggu ke-12 iaitu usia kehamilan 3 bulan, kebanyakan wanita akan mula kelihatan tanda-tanda fizikal tentang kehamilannya. Sekarang bayi akan membesar dengan cepat. Saiz bayi dalam kandungan akan bertambah beberapa milimeter setiap hari. Wajahnya juga semakin jelas.

Risiko keguguran berkurangan pada minggu ke-12 kerana bayi semakin kukuh kedudukannya. Pada masa ini bayi dah boleh menguap, menggeliat, memusing badan tetapi kerana saiznya yang masih kecil kita tidak akan dapat merasakan sebarang pergerakan.

Sumber: http://www.mengandung.com/

PeRkemBangan Janin 5-8 minggu


Embrio akan terus membesar sehingga pada minggu ke-5 didapati terdapat 3 lapisan iaitu ectoderm, mesoderm dan dan endoderm. Ectoderm adalah lapisan yang paling atas. Ianya akan membentuk sistem saraf pada janin tersebut yang seterusnya membentuk otak, tulang belakang, kulit serta rambut. Manakala lapisan mesoderm pula yang berada pada lapisan tengah akan membentuk organ penting yang asas iaitu jantung, buah pinggang, tulang dan organ reproduktif. Selain itu, kita perlu tahu bahawa dalam pembentukkan janin ini, sistem peredaran darah adalah yang pertama terbentuk dan berfungsi. Akhir sekali ialah lapisan endoderm iaitu lapisan paling dalam yang akan membentuk organ dalaman seperti usus, hati, pankreas dan pundi kencing. Kalau kita gambarkan saiz janin 6 mm itu hanyalah sebesar biji tembikai sahaja.

Pada minggu ke-6, sekiranya pemeriksaan secara ultrasound dilakukan, kita akan dapat melihat janin sudah membentuk kepada dan badan. Biasanya getaran jantungnya juga sudah dapat dikesan.

Setelah usia janin minggu ke-7, bentuk bayi semakin jelas terbentuk. Kepala bayi seolah-olah tertunduk dan berada dalam cecair-air ketuban atau amnotic sac yang akan memberikan keperluan tumbesaran bayi semasa dalam kandungan.

Pada usia kandungan kita minggu ke-8, rupa bayi sudah mulai terbentuk antaranya pembentukan lubang hidung, bibir, mulut serta lidah. Matanya juga sudah kelihatan berada di bawah membran kulit yang nipis. Pada masa ini juga anggota tangan serta kaki juga terbentuk walaupun tidak berapa jelas lagi.


Sumber:
http://www.mengandung.com/

PeRkemBangan Janin 1-4 minggu



Pada usia kehamilan kita seminggu iaitu setelah 8 hari selepas proses persenyawaan berlaku, blastocyst (kini mengandungi 200 sel) merembeskan mukus untuk memberitahu kehadirannya di dalam rahim.

Masuk minggu ke-2, blastocyst menggelembung dan sel-sel mula berkembang dan terbahagi kira-kira 2 kali sehari sehinggalah pada hari yang ke 12 jumlahnya telah bertambah dan membantu blastocyst terpaut atau disauh dengan kukuh pada endometrium.

Kemudian masuk minggu ke-3 selepas proses persenyawaan berlaku, saiz embrio terbentuk dan saiznya hanyalah sepanjang 0.08 inci/2 mm. Gen janin mula hendak membentuk dalam 3 lapisan benih(sel) daripada organ badan yang akan bergabung.

Pada minggu ke-4 berikutnya, janin kita sudah mulai membentuk struktur asas manusia dimana sel-sel mula bergabung dan pada masa itu embrio sudah mulai memanjang kira-kira 1/4 inci / 6 mm.Pada masa ini sudah kelihatan pembentukan otak dan tulang belakang serta anggota lain seperti jantung yang mengepam darah ke paru-paru dan aorta (urat besar yang membawa darah daripada jantung.

Sumber: http://www.mengandung.com/

Salah faham "demam pematah tulang"

Dikenali sebagai demam 'pematah tulang' atau 'pematah tulang belakang', demam denggi pernah dianggap penyakit akibat ilmu hitam akibat satu simptomnya menyebabkan sakit di dalam tulang, seperti akan meletup.

Namun, tahukah anda terdapat empat peringkat demam denggi; cirit-birit merupakan antara simptom demam denggi dan bukan semua pesakit denggi perlu dimasukkan ke wad?

Pakar Perunding Perubatan dan Kardiologi Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Kol (B) Dr. Abdul Rahman Mohd Ali menjelaskan, virus punca demam denggi dan denggi berdarah tergolong dalam kumpulan Arbovirus dan terdiri daripada empat jenis (serotype).

"Empat jenis virus denggi ini dikelaskan sebagai DEN 1, 2, 3 dan 4 yang kesemuanya boleh menyebabkan jangkitan yang tenat dan berpotensi membawa maut.

"Kesemua empat jenis virus denggi ini juga boleh menyebabkan demam denggi berdarah tetapi lebih kerap dengan jenis DEN 2, diikuti jenis 4, 3 dan 1," katanya.

Menurut beliau, jangkitan salah satu serotype virus denggi akan memberikan pesakit perlindungan imuniti seumur hidup terhadap jenis virus tersebut dan juga imuniti jangka pendek (dua hingga empat bulan) terhadap serotype lain.

Dr. Abdul Rahman turut mendedahkan kesemua virus denggi turut mengalami mutasi genetik yang menghasilkan variasi dalam jenis virus yang sama.

"Mutasi yang berlaku sekali setiap tiga atau empat tahun membolehkan virus tersebut 'menukar baju' dan menyebabkan badan pesakit tidak dapat mengenalinya walaupun pernah dijangkiti jenis virus sama sebelum ini.

"Segelintir variasi virus tersebut lebih ganas dan berpotensi menyebabkan berlakunya wabak besar denggi dari semasa ke semasa," jelasnya.

Kata beliau, manusia adalah perumah semulajadi virus denggi dengan tempoh eraman antara tiga hingga 14 hari selepas digigit nyamuk, di mana virus membiak dalam hati dan nodus limfa pesakit.

Tambahnya, fasa demam akan bermula selepas tempoh eraman berakhir, apabila virus memasuki darah dan menyerang sel darah putih (WBC) dan platlet. Demam biasanya berlaku antara empat ke enam hari selepas digigit nyamuk tetapi pesakit biasanya kembali pulih antara tujuh ke 10 hari kemudian. Simptom denggi bagaimanapun boleh berpanjangan sehingga sebulan walaupun sudah tidak demam.

Pemeriksaan dan rawatan

Semua pengidap demam denggi boleh mengalami peringkat denggi dengan demam biasa yang melarat kepada DDB atau DSS, mengikut ketahanan badan, bentuk jangkitan dan jenis virus. Selain itu, diagnosis denggi juga perlu membezakannya dengan simptom hampir serupa penyakit lain seperti selesema, campak, malaria, demam kepialu dan demam berdarah virus.

Pemeriksaan klinikal denggi melibatkan ujian tekanan darah, bukti pendarahan pada kulit atau bahagian badan lain, kandungan air di dalam badan yang cukup, dan bukti kebocoran atau pendarahan dalaman. Ujian dijalankan termasuk:

l Ujian Tourniquet - menggunakan alat menguji tekanan darah dan stetoskop; lebih 20 bintik merah atau hitam timbul.

l Ujian makmal - seperti kiraan sel darah dan platelet, kepekatan darah, albumin, ujian fungsi hati dan ujian kehadiran darah dalam air kencing.

l Ujian khusus denggi - ujian mengenalpasti virus atau ujian serologi. Ujian khusus dapat menentukan bentuk jangkitan virus denggi dengan mengesan antibodi IgG dan IgM. IgM dihasilkan jika jangkitan baru berlaku, di bawah dua minggu. Selepas dua minggu pulih, pesakit akan membentuk antibodi memori (IgG) pula untuk menentang jenis virus yang sama kelak (perlindungan kekal).

Menurut Dr. Abdul Rahman, tiada rawatan khusus untuk jangkitan denggi dan selalunya doktor hanya dapat memantau perkembangan pesakit dan merawat simptom atau komplikasi yang timbul.

"Untuk demam denggi biasa, pesakit hanya dirawat sebagai pesakit luar dan tidak perlu dimasukkan ke wad.

"Pesakit demam denggi klasik pula akan diperiksa tahap kepekatan darah (hematokrit) dan platletnya sebelum ditentukan perlu masuk wad atau tidak," ujar beliau.

Menurutnya lagi, peningkatan hematokrit, dehidrasi (badan kurang air) dan tahap platlet rendah (di bawah 100,000 sel/milimeter padu) akan memerlukan pesakit dimasukkan ke wad untuk pemantauan.

Tambah beliau, kemasukan wad juga bergantung kepada kekosongan katil di hospital memandangkan pesakit denggi berdarah dan DSS lebih memerlukan pemantauan dan rawatan rapi.

Mengikut pengalaman beliau, Dr. Abdul Rahman menjelaskan secara purata empat atau lima pesakit denggi dimasukkan ke wad DEMC setiap hari.

"Pesakit dimasukkan ke wad selama tiga hingga empat hari untuk pemantauan sahaja melalui ujian darah setiap hari dan juga dimasukkan air jika badan pesakit kurang air.

"Kebiasaannya, ujian darah pada hari ketiga pesakit demam akan menunjukkan jika mula menjurus kepada denggi berdarah dan perlu dimasukkan wad," katanya.

Beliau menjelaskan transfusi platlet perlu diberikan jika bacaan platlet pesakit di bawah 20,000 sel/milimeter padu dan terdapat tanda-tanda pendarahan.

Tambahnya, bila pesakit mencapai tahap renjatan (DSS), pemindahan darah dan komponen darah lain perlu dilakukan mengikut keadaan pesakit.

Menurut Dr. Abdul Rahman, pesakit denggi tidak akan menghadapi kesan jangka panjang kecuali jika terdapat komplikasi pada otak atau jantung. Pesakit juga hanya perlu diasingkan mengunakan kelambu sehingga pulih dari demam bagi mengelakkan virus disebar nyamuk.

Pencegahan

Buat masa ini, tiada lagi vaksin yang berkesan memberi perlindungan terhadap keempat-empat jenis virus denggi, ditambah pula masalah mutasi berterusan virus berkenaan menyebabkan vaksin sukar dihasilkan.

Dr. Abdul Rahman menjelaskan, kawalan terhadap vektor pembawa virus denggi merupakan pilihan terbaik untuk mengawal penularan virus denggi.

"Orang ramai perlu mengambil langkah proaktif menghapuskan jentik-jentik dan nyamuk dewasa bagi mengawal penularan wabak denggi.

"Selain menghapuskan tempat pembiakan, tabiat diri juga perlu diubah. Kurangkan berada di luar pada waktu nyamuk aktif, terutamanya dengan pakaian yang tidak melitupi tangan dan kaki, serta hapuskan habitat pembiakan nyamuk Aedes," tegas beliau.

Antara situasi membimbangkan yang diketengahkan Dr. Abdul Rahman adalah amalan kanak-kanak menunggu bas pada waktu nyamuk paling aktif (awal pagi) dengan pakaian seragam berlengan pendek atau seluar pendek.

Beliau menegaskan amalan sebegini meningkatkan risiko jangkitan denggi dan mungkin tiba masanya sedikit penyesuaian dibuat untuk mengelakkan anak-anak menjadi mangsa denggi.

Bagi Dr. Abdul Rahman, masalah denggi pada asasnya merupakan satu masalah persekitaran dan 'rawatan' pada persekitaran lebih berkesan dalam mengawalnya.

"Nyamuk Aedes hanya hidup antara 15 hingga 65 hari sahaja dan cuma dapat terbang sekitar 200 meter dari habitatnya. Jadi, tempat bertelurnya tentu berhampiran. Telurnya pula akan menetas menjadi jentik-jentik dalam tujuh ke 10 hari.

"Apa yang membimbangkan, telur nyamuk boleh bertahan sehingga 100 hari jika takungan air mengering di bawah cuaca panas terik. Telur ini hanya akan mati jika berada dalam suhu bawah 10°C," jelasnya.

Ditambah pula dengan hujan tidak menentu dan berpanjangan akibat pemanasan global, beliau tidak menolak kemungkinan denggi tidak lagi mengikut musim dan lebih kerap berlaku.

Walaupun demam denggi berdarah jarang berlaku, Dr. Abdul Rahman mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil mudah perkara tersebut memandangkan kebanyakan pesakit denggi berdarah adalah kanak-kanak dan golongan muda.

Pemanasan global juga telah membolehkan denggi terus merebak ke hemisfera utara bumi melalui kawasan pembiakan nyamuk yang semakin luas, sehingga ke negara-negara beriklim sejuk di Eropah. Nyamuk dewasa juga semakin 'pandai' menumpang sistem pengangkutan manusia untuk berpindah ke kawasan baru, termasuk menaiki lif untuk mencari mangsa yang tinggal di tingkat atas bangunan tinggi.

Denggi boleh membunuh! Menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memerangi denggi. Kembalikan amalan kerjasama bergotong-royong menjaga kawasan perumahan bagi mengelakkan nyamuk membiak dan menyebarkan virus denggi.

Kita tidak sepatutnya mementingkan diri dan melihat hanya pada statistik dan kos. Ingatlah penambahan satu angka kematian itu sudah terlalu tinggi untuk ditanggung jika keluarga atau diri anda sendiri menjadi mangsa denggi seterusnya.

Sumber: utuSan MalaYsiA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...